Followers

Pages

Subscribe

Tuesday, August 17, 2010

Kasihku Arina--Mazni Aznita

Buku Prima
RM25.90
ISBN: 978-967-5489-47-1
~720 hlm
Sinopsis:
Kehilangan adiknya Chayi di Filipina membuatkan Arina separuh gila mencari adiknya. Namun halangan demi halangan yang ditempuhinya dengan pihak polis Manila dan Kedutaan Malaysia membuatkan dia hampir kehabisan ikhtiar sehinggalah dia dipertemukan dengan seorang lelaki bernama Alwiz. Demi keselamatan Chayi, dia terpaksa merelakan dirinya berada di bawah kawalan lelaki itu, dan terpaksa mengaku Alwiz sebagai tunangannya di hadapan anggota keluarganya yang lain.

****
Mengisahkan Arina yang dihilangkan ingatannya telah disembunyikan oleh Magdalena Anna di Kuala Lumpur. Penculikan Chayi mengubah kehidupan Arina yang selama ini rupa-rupanya palsu. Kehadiran Alwiz dalam hidupnya merungkai segala misteri yang tidak pernah diduga dek akal. Alwiz mengaku berasal dari dunia Drutasia dan datang ke situ mencari Kunci Orkid yang disimpan oleh Fahrin, ayah tipu-tipu Arina. Pembunuhan seluruh ahli keluarga Arina di KL memaksanya lari ke Mandaluyong dengan bantuan Nakhael. Selain kisah Arina, penulis turut memaparkan kisah Tuan Eye yang begitu misteri. Kemunculan semula Arina menyebabkan nyawanya terancam dan Alwiz bertegas mahu membawanya pulang ke Drutasia. Sebaik tiba di Drutasia, ingatan Arina pulih. Dia kenal siapa dirinya--pembunuh upahan Raja Kreuk yang telah membunuh Kedd Villaneuva, abang Alwiz.

Ajinomoto kami:
Novel KA ni boleh dikategorikan sebagai urban fantasy yg berlatar belakangkan alternate world--dimensi lain yang tak jauh beza dengan dunia ni. Digambarkan Drutasia tak banyak beza dengan Kuala Lumpur dan Madaluyong, Filipina. Jadi tak perlu kerah otak nak gambarkan tempat ini. Cuma pembaca perlu membayangkan Dragonfeit (naga api), gregor dan hermionite--mahkluk mitos yang wujud di dunia Drutasia. Juga senjata 5 Pahlawan Orkid seperti Snowball, Pencoit Saber, Dreamer, Haunting Night dan Cubic Zero. Kebanyakannya pedang, ada juga crossbow.

Watak utama kisah ini ialah Arina, seorang gadis yang diculik semasa kecil untuk dijadikan pembunuh upahan Raja Kreuk, pemerintah Lembah Hitam. Heronya ialah Alwiz, putera kerajaan Drutasia yang merupakan gerero dan salah seorang Pahlawan Orkid. Selain Alwiz, Nakhael, Jerry dan Night juga ialah Pahlawan Orkid yang dikurniakan senjata hebat daripada Gunung Ais. Misi mereka ialah melindungi Drutasia dan mencari Kunci Orkid--teknologi yang membolehkan mereka mengembara merentasi dimensi.

Jika membaca sinopsis di belakang kulit novel, sedikit pun ia tidak menggambarkan isi sebenar KA. Novel ini lebih daripada apa yang digambarkan. Membacanya memerlukan penelitian dan penumpuan kerana setiap plot, watak dan perwatakan disusun saling berkait dan mempunyai implikasi dalam setiap babak. Di sinilah kekuatan utama KA. Penuh aksi, debaran dan tanda tanya. Jalan cerita disusun secara menyongsang. Punca yang memulakan pengembaraan kisah ini dirungkai melalui teknik imbas kembali yang boleh mengelirukan sekiranya tumpuan anda terganggu. Namun bagi kami, ini cara terbaik menceritakan kisah urban fantasy seperti ini. Jika plotnya disusun secara kronologi, tidak akan ada unsur surprise dan sense of wonder yang menjadi inti pati utama genre saifai/fantasi.

Bagi yang mencari babak jiwang, novel ini mungkin tak sesuai untuk anda. KA banyak memaparkan aksi. Amat sesuai buat mereka yang menggemari kisah-kisah saifai, fantasi dan aksi.

Bahasa yang digunakan tidak terlalu berbunga dan berfalsafah. Mudah difahami. Cuma terdapat beberapa kecanggungan penggunaan perkataan dan imbuhan. Sama ada disengajakan, atau sebahagian daripada teknik penulisan, tidaklah kami pasti. Tetapi ia agak mengganggu pembacaan dan pemahaman.

Masih terdapat beberapa persoalan yang belum dijawab penulis dalam naskhah ini. Ia membayangkan seolah-olah ada kemungkinan kisah ini ada sambungannya. Dan kami akan menanti dengan penuh keterujaan akan karya seterusnya daripada Mazni Aznita.

Moga lebih banyak lagi karya seumpama ini diterbitkan supaya dapat memeriahkan dunia penulisan tanah air yang semakin dibanjiri novel cinta. Oopss...kami tak bermaksud 'jahat'. Cuma kami dahagakan kisah-kisah yang tak terlalu menjurus kepada persoalan cinta semata-mata.

Verdik:
4 daripada 5 bintang