Followers

Pages

Subscribe

Wednesday, November 24, 2010

Rahsia Alam Hitam (Kelahiran Mufrad)--Zehann Ur Rakhie

Pekan Ilmu Publications
RM25.90
ISBN: 983-2567-73-4
653 halaman

Blurp:
Tengah malam akhir kurun ke-15, sebuah kapal dari tanah Jawa telah masuk berlabuh di pelabuhan negeri Kedah. Dari kapal itu muncul sesusuk tubuh lelaki yang melompat tinggi dan mendarat kemas di jeti. Tiada sesiapa pun yang dibaawanya....

Di tengah istana legap dia berdiri, menyeru rintih dunia yang sepi, tiada insan yang sanggup lagi...berpaling diri yang terus merugi, serta dendam yang berapi-api.

"Oleh itu anak-anakku, curilah dia satu demi satu akan wajah yang tertipu, helahnya terselindung, di balik waktu, dunia samar jadi saksiku.
--Lembaran Kitab Hitam

"Kita tidak akan selamanya kalah dan mereka tidak akan selamanya menang."
--Laksamana

****
Novel pertama dalam dwilogi Rahsia Agenda Alam Hitam (RAAH) ini mengisahkan mengenai asal usul satu mahkluk yang dinamakan Vamprha. Ia bermula dengan kisah Raja Bersiung yang melarikan diri daripada buruan rakyatnya sendiri. Diberitakan bahawa Raja Bersiung telah mendapat perlindungan daripada Pendeta Tua (Syaitan) lantas mengikat perjanjian untuk menjadi Raja Alam Hitam, yang dapat menundukkan jin dan manusia. Daripada keturunan Raja Bersiung, maka lahirlah mahkluk-makhluk aneh yang dipanggil Vamprha, mahkluk durjana yang memakan darah manusia.

Pada penghujung kurun ke-15, Radin Mas Gurana, keturuna Raja Alam Hitam tiba di Tanah Melayu. Dengan kemunculannya, manusia jadian berkepala anjing mula mengancam ketenteraman penduduk. Kiai Jamal bersama sahabatnya Syeikh Ibrahim serta orang-orang suruhan mereka, Taha Jati dan Saliman berhempas pulas menewaskan manusia jadian ini.

Pada masa yang sama, Raden Mas Gurana sedang mencari calon yang sesuai bagi melahirkan keturunannya. Dan seorang gadis cantik bernama Sari yang berasal dari Kampung Lubuk Gua telah menjadi pilihannya.

Ketika keganasan ahli-ahli kepala anjing makin meruncing, Wan Sallehuddin telah menyerahkan kitab hitam yang menjelaskan asal-usul pergerakan Alam Hitam kepada Kiai Jamal. Dalam kitab itu menceritakan bagaimaa pengaruh Alam Hitam telah tersebar ke seluruh dunia termasuk ke dunia Eropah dan Asia Barat. Menurut Wan Sallehuddin, kitab itu perlu diberikan kepada warisnya yang berhak. Menjadi tugas Kiai Jamal menjaga kitab itu dan menyerahkannya.

Disebabkan penentangan yang diterima daripada penduduk kampung semakin meruncing, Raden Mas Gurana telah bertindak menculik Sari. Keturunannya hanya boleh lahir sekiranya gadis itu dalam keadaan uzur. Sebaik sahaja mengetahui akan niat hitam Raden Mas Gurana, Sari mencari jalan supaya niat Raja Alam Hitam itu tidak termakbul. Dengan kebijaksanaannya, dia berupaya memperdayakan Raden Mas Gurana.

Kiai Jamal dan orang-orangnya berjaya menyelamatkan Sari dari gua yang didiami oleh Raden Mas Gurana dan pengikut setianya, Qaruth. Tidak lama kemudian, Juan Kilaninta dari benua Eropah muncul mencabar kekuasaan ayahnya, Raden Mas Gurana. Juan Kilaninta berjaya membunuh Raden Mas Gurana dan menjadi Raja Alam Hitam seterusnya.

Sari telah hamilkan anak Raden Mas Gurana. Dia dihalau oleh keluarganya dan kemudiannya diselamatkan oleh Syeikh Ibrahim. Akibatnya orang-orang kampung telah memulaukan keluarga Syeikh Ibrahim kerana melindungi Sari yang hamilkan anak puaka. Sari meninggal dunia setelah melahirkan seorang anak lelaki yang diberi nama Sulaiman Syah, yang kemudiannya ditukar kepada Massurya Syah. Bayi itu dibela dan didik oleh Syeikh Ibrahim.

Massurya Syah dikurniakan dengan kekuatan dan kebijaksanaan luar biasa. Dia lebih suka mengasingkan diri dan berkawan dengan orang yang lebih dewasa daripada usianya. Seringkali Massurya Syah diejek dan dibuli. Namun dia tidak pernah melawan. Kematian Syeikh Ibrahim menyebabkan kehidupan Massurya Syah menjadi sukar. Dia terus dibuli dan difitnah oleh penduduk Kampung Lubuk Gua.

Suatu hari ketika cuba menyelamatkan seorang gadis daripada diperkosa, jiwa hitam dalam dirinya muncul dan dia bertindak ganas terhadap sekumpulan penyagak itu. Pada ketika itu, fahamlah dia akan asal usul keturunannya. Massurya Syah keluar dari Kampung Lubuk Gua membawa Kitab Hitam dan mencari Kiai Jamal, seperti yang telah diwasiatkan oleh Syeikh Ibrahim. Massurya Syah telah menuntut ilmu dengan Kian Jamal bagi mengimbangi kuasa Alam Hitam yang ada dalam dirinya. Massurya Syah turut berguru dengan seorang lelaki yang dipanggil Laksamana (Hang Tuah?) bagi mendalami ilmu persilatan. Selesai berguru, Massurya Syah mula mengembara menewaskan kejahatan Alam Hitam di sepanjang perjalanannya. Dia juga turut mencari beberapa helai lembaran kitab hitam yang hilang. Pencariannya membawa Massurya Syah sampai ke England.

Setelah memperoleh lembaran itu, Massurya Syah pulang semula ke Tanah Melayu dan melengkapkan catatan di dalam kitab hitam mengenai pengembaraannya menyaksikan kekuasaan Alam Hitam.

Ajinomoto kami:
Gaya penulisan dalam novel ini menyerupai gaya penceritaan hikayat yang telah diolah supaya kelihatan moden. Nada penceritaannya seperti membaca buku-buku sejarah lama, tetapi memang menghiburkan. Bagi kami yang menggemari kisah-kisah mistik, bukan cerita hantu seperti cerita Tamar Jalis, novel ini memang tidak patut dilepaskan. Walaupun ia mengungkap kisah spesis hantu seperti puntianak jantan (vampire) dan anjing jadian, persembahannya tidak nampak seperti membaca kisah hantu-hantu Melayu yang biasa kita dengar semasa kecil. Tambahan pula, pembaca sering diingatkan dengan kekuasaan dan kebesaran Allah. Lantaran asal usul Rahsia Alam Hitam ini dikatakan hasil perjanjian antara Syaitan (pendeta tua dan Qaruth) dengan Raja Bersiung. Dalam dunia Melayu, nama Raja Bersiung memang tidak asing lagi.

Dia Drakula alam Melayu. Amat menarik apabila penulis mengembangkan mitos vampire ini sebagai berasal daripada keturunan Raja Bersiung yang berasal di selatan negara Thai. Pengaruh dan keturunan Raja Bersiung telah tersebar ke seluruh dunia termasuk benua Eropah dan Asia. Umum sedia maklum, di benua Eropah dan Asia, masing-masing kebudayaan mempunyai mitos vampire mereka yang tersendiri. Perkaitan yang dibuat oleh penulis, kami kira, adalah yang terbaik bagi mewakili alam Melayu. Buat apa nak tiru Barat sedangkan kita memang sudah sedia ada mitos vampire sendiri...hehehe.

RAAH I banyak mempamerkan aksi-aksi lawan antara manusia dengan hamba syaitan. Turut dipaparkan ialah sikap dan kelemahan orang Melayu apabila ditimpa musibah mistik. Mereka lebih cepat mempercayai bomoh dan pawang daripada mempercayai kekuasaan Allah. Seringkali mereka memulaukan apa yang tidak mereka fahami dan tidak pula berusaha mahu memahaminya.

Verdik:
3.5 daripada 5 bintang




Tuesday, August 17, 2010

Kasihku Arina--Mazni Aznita

Buku Prima
RM25.90
ISBN: 978-967-5489-47-1
~720 hlm
Sinopsis:
Kehilangan adiknya Chayi di Filipina membuatkan Arina separuh gila mencari adiknya. Namun halangan demi halangan yang ditempuhinya dengan pihak polis Manila dan Kedutaan Malaysia membuatkan dia hampir kehabisan ikhtiar sehinggalah dia dipertemukan dengan seorang lelaki bernama Alwiz. Demi keselamatan Chayi, dia terpaksa merelakan dirinya berada di bawah kawalan lelaki itu, dan terpaksa mengaku Alwiz sebagai tunangannya di hadapan anggota keluarganya yang lain.

****
Mengisahkan Arina yang dihilangkan ingatannya telah disembunyikan oleh Magdalena Anna di Kuala Lumpur. Penculikan Chayi mengubah kehidupan Arina yang selama ini rupa-rupanya palsu. Kehadiran Alwiz dalam hidupnya merungkai segala misteri yang tidak pernah diduga dek akal. Alwiz mengaku berasal dari dunia Drutasia dan datang ke situ mencari Kunci Orkid yang disimpan oleh Fahrin, ayah tipu-tipu Arina. Pembunuhan seluruh ahli keluarga Arina di KL memaksanya lari ke Mandaluyong dengan bantuan Nakhael. Selain kisah Arina, penulis turut memaparkan kisah Tuan Eye yang begitu misteri. Kemunculan semula Arina menyebabkan nyawanya terancam dan Alwiz bertegas mahu membawanya pulang ke Drutasia. Sebaik tiba di Drutasia, ingatan Arina pulih. Dia kenal siapa dirinya--pembunuh upahan Raja Kreuk yang telah membunuh Kedd Villaneuva, abang Alwiz.

Ajinomoto kami:
Novel KA ni boleh dikategorikan sebagai urban fantasy yg berlatar belakangkan alternate world--dimensi lain yang tak jauh beza dengan dunia ni. Digambarkan Drutasia tak banyak beza dengan Kuala Lumpur dan Madaluyong, Filipina. Jadi tak perlu kerah otak nak gambarkan tempat ini. Cuma pembaca perlu membayangkan Dragonfeit (naga api), gregor dan hermionite--mahkluk mitos yang wujud di dunia Drutasia. Juga senjata 5 Pahlawan Orkid seperti Snowball, Pencoit Saber, Dreamer, Haunting Night dan Cubic Zero. Kebanyakannya pedang, ada juga crossbow.

Watak utama kisah ini ialah Arina, seorang gadis yang diculik semasa kecil untuk dijadikan pembunuh upahan Raja Kreuk, pemerintah Lembah Hitam. Heronya ialah Alwiz, putera kerajaan Drutasia yang merupakan gerero dan salah seorang Pahlawan Orkid. Selain Alwiz, Nakhael, Jerry dan Night juga ialah Pahlawan Orkid yang dikurniakan senjata hebat daripada Gunung Ais. Misi mereka ialah melindungi Drutasia dan mencari Kunci Orkid--teknologi yang membolehkan mereka mengembara merentasi dimensi.

Jika membaca sinopsis di belakang kulit novel, sedikit pun ia tidak menggambarkan isi sebenar KA. Novel ini lebih daripada apa yang digambarkan. Membacanya memerlukan penelitian dan penumpuan kerana setiap plot, watak dan perwatakan disusun saling berkait dan mempunyai implikasi dalam setiap babak. Di sinilah kekuatan utama KA. Penuh aksi, debaran dan tanda tanya. Jalan cerita disusun secara menyongsang. Punca yang memulakan pengembaraan kisah ini dirungkai melalui teknik imbas kembali yang boleh mengelirukan sekiranya tumpuan anda terganggu. Namun bagi kami, ini cara terbaik menceritakan kisah urban fantasy seperti ini. Jika plotnya disusun secara kronologi, tidak akan ada unsur surprise dan sense of wonder yang menjadi inti pati utama genre saifai/fantasi.

Bagi yang mencari babak jiwang, novel ini mungkin tak sesuai untuk anda. KA banyak memaparkan aksi. Amat sesuai buat mereka yang menggemari kisah-kisah saifai, fantasi dan aksi.

Bahasa yang digunakan tidak terlalu berbunga dan berfalsafah. Mudah difahami. Cuma terdapat beberapa kecanggungan penggunaan perkataan dan imbuhan. Sama ada disengajakan, atau sebahagian daripada teknik penulisan, tidaklah kami pasti. Tetapi ia agak mengganggu pembacaan dan pemahaman.

Masih terdapat beberapa persoalan yang belum dijawab penulis dalam naskhah ini. Ia membayangkan seolah-olah ada kemungkinan kisah ini ada sambungannya. Dan kami akan menanti dengan penuh keterujaan akan karya seterusnya daripada Mazni Aznita.

Moga lebih banyak lagi karya seumpama ini diterbitkan supaya dapat memeriahkan dunia penulisan tanah air yang semakin dibanjiri novel cinta. Oopss...kami tak bermaksud 'jahat'. Cuma kami dahagakan kisah-kisah yang tak terlalu menjurus kepada persoalan cinta semata-mata.

Verdik:
4 daripada 5 bintang